Monday, June 29, 2009

Perang Saraf Telah Bermula - Fitnah Sesama Manusia


Seperti yang telah diketahui ramai calon-calon yang bertanding untuk mewakili pihat BN dan PAS telahpun diumumkan. Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon BN dan tauke ikan tersohor Fauzi Abdullah mewakili PAS. Seperti juga yang telahpun diagak perang saraf terhadap kedua-dua calon ini telahpun bermula dalam dunia maya.

Saya sendiri adalah anak jati Kuala Krai. Semasa meluangkan masa selama 4 hari di Manek Urai dua minggu yang lepas kedua-dua nama ini menjadi sebutan ramai sebagai calon yang paling layak mewakili parti masing-masing untuk bertanding.

Fauzi Abdullah sendiri bagi saya adalah calon pilihan tepat PAS, penjual ikan tersohor yang sememangnya telahpun dikenali ramai. Tiada apa lagi yang saya boleh katakan mengenai Fauzi kerana jika saya menulis berdasarkan cakap-cakap orang tanpa sebarang bukti nyata, maka itu adalah fitnah belaka.

Begitu juga dengan Tuan Aziz, telahpun ada kata-kata fitnah yang dilemparkan terhadap beliau seperti yang ditulis dalam laman web Satu Malaysia. Adakah fitnah ini dilemparkan berdasarkan bukti yang nyata. Satu yakin bahawa penulis yang melemparkan fitnah tersebut tidak sama sekali mengenali Tuan Aziz dengan lebih dekat.



Fitnah 1:
Tuan Aziz didakwa menyalahgunakan kuasanya dan terbabit dalam rasuah


Ini adalah satu kenyataan yang "ambigious" bertujuan hanya untuk mengaburkan mata pembaca.


Fitnah 2:
Tuan Aziz hidup mewah melebihi kemampuannya ketika menjadi CEO Kesedar Perkilangan Sdn Bhd (KPSB). Jawatan ini disandangnya sebelum dilantik menjadi pengurus di Kesedar


Setahu saya Tuan Aziz hidup secara sederhana. Walaupun berjawatan sebagai CEO Kesedar, beliau hanya mempunyai rumah papan satu tingkat di Kuala Krai. Isteri beliau bertugas sebagai guru. Pasal kereta pula, beliau memandu Proton Perdana second hand dan isteri beliau memandu Perodua MyV.


Fitnah 3:
Beliau melakukan lawatan yang “meragukan” bersama pegawai-pegawai yang tidak berkaitan ke negara Asean seperti Vietnam dan Thailad untuk tujuan pemasaran

Lawatan itu dilakukan secara rotation oleh pegawai-pegawai Kesedar selepas mencapai kejayaan memasarkan minyak masak di negara-negara Asean. Tuan Aziz sendiri tidak pernah mengikut serta dalam lawatan tersebut.


Fitnah 4:
Beliau menyalahgunakan kuasanya dalam pemberian kontrak-kontrak KPSB dan melobi untuk pembekal baja sewaktu bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai

Keputusan akhir pemberian kontrak tersebut bukan terletak di tangan Tuan Aziz. Lagipun Tuan Aziz tidak perlu melobi untuk medapat sokongan semasa pertandingan jawatan Ketua Pemuda Bahagian. Sokongan beliau pada peringkat akar umbi adalah padu. Lawan Tuan Aziz untuk jawatan Ketua Pemuda Bahagian adalah juga kenalan rapat beliau, Salihin Ismail.
Tambahan pula, dari sumber yang telahpun disahkan, Tuan Aziz juga meminta beberapa cawangan memilih lawannya Salihin sebagai calon Ketua Pemuda Bahagian supaya nanti Salihin cukup bilangan pencalonan. Maka tidak mungkin wujud aksi lobi-melobi seperti dinyatakan.


Kesimpulan:

Perlembagaan menuntut parti-parti yang bertanding supaya berlawan secara demokrasi. Tetapi tidak pula tertulis bahawa demi demokrasi parti-parti berlawan mestilah menabur fitnah untuk mewujudkan perasaan saling membenci. Tambahan pula teramatlah hina jika fitnah itu dilemparkan oleh pendokong-pendokong parti yang memperjuangkan agama Islam, kerana Islam tidak meminta umatnya saling membenci, tetapi saling menyayangi.

Oleh kerana kedua-kedua calon tersebut adalah pilihan terbaik parti, maka sesiapa yang menang sememangnya akan membawa kebaikan kepada penduduk Manek Urai sendiri. Dengan itu tidak perlulah memfitnah atau menceritakan keaiban sesama manusia, sama ada dari pihak PAS. atau UMNO.

Wassalam.

Friday, June 19, 2009

Ladang Rakyat Kelantan - Antara Fakta Dan Pembohongan


Kini Ulu Kelantan kini sedang menjadi fokus pemerhati politik kerana Manek Urai bakal menyaksikan pertembungan besar BN dan PAKATAN. Dua kawasan parlimen yang terletak di Ulu Kelantan iaitu Kuala Krai dan Gua Musang tidak boleh dikategorikan sebagai kubu kuat PAS. Rata-rata pengundi di Ulu Kelantan merupakan penyokong BN kerana mereka ini adalah golongan yang telah cuba mengubah nasib melalui progam Rancangan Tanah Persekutuan seperti Kesedar dan Felcra.

Kejayaan Kesedar tidak perlu lagi dipertikaikan walaupun terdapat juga cacat cela. Rakyat miskin khususnya dari utara Kelantan telah diberi tanah pertanian untuk diusahakan sebagai punca rezeki harian. Golongan perintis kini telahpun bukan sahaja mengecap hasil usaha mereka tetapi secara amnya telah mengubah status sosio-ekonomi keluarga.

Maka PAS tidak mahu ketinggalan dalam membela nasib rakyat Kelantan. Beberapa tahun yang lepas Kerajaan PAS Kelantan telahpun melancarkan projek yang dinamakan Ladang Rakyat Kelantan. Ulasan mengenai Ladang ini juga boleh dibaca di Harakah Daily.

Persoalan di sini ialah sejauh manakah kejayaan Ladang Rakyat berbanding dengan Rancangan Tanah Persekutuan dan adakah ianya benar-benar boleh membawa rakyat keluar daripada belengu kemiskinan. Apa yang saya perhatikan ialah terdapat beberapa pembohongan yang tidak diketahui ramai mengenai Ladang Rakyat Kelantan.


Pembohongan 1: PAS Mempelopori Rancangan Pembangunan Tanah

Berikut saya petik dari Harakah Daily:

Kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1960-an lagi sudah mendahui kerajaan Pusat dalam aspek Pembangunan iaitu dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri. Konsep pembangunan tanah yang diperkenalkan oleh Kelantan inilah kemudiannya diikuti Kerajaan Pusat dengan memperkenalkan Felda, Felcra dan Kesedar.

Fakta: Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan Telah Bermula Di Kelantan Pada Tahun 1958

Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan telahpun dimulakan di Kelantan setahun selepas merdeka, iaitu pada tahun 1958. Salah satu rancangan tanah tersebut bertempat di Pasir Kelang dalam Jajahan Kuala Krai, yang dinamakan Rancangan Pembangunan Tanah Pasir Kelang (RPTPK). Antara penjawat awam yang terlibat secara langsung dengan RPTPK ialah arwah ayah saya sendiri.

Walaupun tidak diberi nama khusus seperti Felda atau Felcra, RPTPK mempunyai sudahpun mempunyai unsur-unsur badan tersebut seperti bantuan kewangan kerajaan persekutuan. Suka saya ingatkan kembali bahawa ini telahpun dibawa ke Kelantan pada tahun 1958.


Pembohongan 2: Ladang Rakyat Membela Rakyat Miskin
Berbanding dengan program Kesedar yang diumpamakan seperti memberi pancing dan jala kepada rakyat untuk mendapatkan ikan, konsep Ladang Rakyat pula hanya memberi ikan buruk yang sudah tidak laku di pasar. Rakyat miskin hanya diberi dividen RM 200 sebulan tanpa membuat sebarang kerja.

Fakta: Golongan Penerima Dividen Bukannya Benar-Benar Miskin

Pemberian dividen tidak membantu mengurangkan kemiskinan. Keutamaan pengagihan dividen diberi kepada penyokong tegar PAS. Di kampung saya contohnya, penerima dividen ialah individu yang jenis suka melalak dan menyalak siang dan malam di kedai kopi demi mengagungkan parti. Terdapat individu yang lebih layak menerima habuan, contoh yang saya sempat temui ialah ibu tunggal yang mengalami masalah mental dan seorang pesakit leukimia. Tetapi dua individu tersebut tidak terbela dan tanpa mendapat apa-apa, mungkin mereka bukan penyokong PAS agaknya.


Pembohongan 3: Ladang Rakyat Kepunyaan Rakyat

Nama projek tersebut Ladang Rakyat boleh menganburkan mata. Persepsi yang kerajaan negeri cuba wujudkan ialah ianya kepunyaan rakyat. Paling tidak peserta program Kesedar dapat mengenali secara nyata manakah dan apakah hak mereka. Bagi peserta Ladang Rakyat tidak diberi hak ke atas ladang yang diusahakan, cuma elaun bulanan.

Fakta: Kapitalis Cina Sebagai Pemegang Saham Utama

Pernah berlaku dalam 3 atau 4 tahun dahulu bahawa tanah haram yang diterokai oleh penduduk tempatan Ulu Kelantan selama berbelas-belas tahun sebagai punca rezeki akan diambil balik oleh kerajaan negeri. Alasan yang diberi oleh kerajaan negeri ialah tanah tersebut telahpun dipajak oleh syarikat luar. Adakah yang dimaksudkan syarikat luar itu tadi ialah pemodal dan pemegang saham utama Ladang Rakyat.

Siapakah pemegang saham utama di belakang Ladang Rakyat Kelantan. Nama beberapa pemegang saham utama setahu saya tidak pernah didedahkan. Maklumat yang saya dapat dari kenalan rapat yang bertugas di Ulu Kelantan menyatakan bahawa pemegang saham utama adalah tauke-tauke Cina. Oleh itu mungkinkah juga YB yang terlibat dibayar komisyen yang lumayan oleh pemegang saham. Allah hu'alam.


Kesimpulan 1: Penipuan Berselindung Di Sebalik Agama Islam

Sememangnya politik tidak boleh lari daripada penipuan. Akan tetapi amatlah bangsat dan hina jika pembohongan itu berselindung di sebalik agama. Adakah dividen RM 200 sebulan diterima oleh semua rakyat miskin Kelantan? Adakah dengan dividen RM 200 sebulan boleh menbantu rakyat keluar daripada belengu kemiskinan? Ianya lebih kepada "memelihara" penyokong tegar supaya sentiasa setia.

Kesimpulan 2: Harakah Bahan Lacuran Agenda PAS

MSM seperti Berita dan Utusan dikecam teruk dan dituduh sebagai alat penyebaran propaganda kerajaan. Apakah beza pula Harakah yang tidak dapat membezakan antara fakta dan pembohongan. Tambahan pula amat keji sekali jika Harakah memutar-belitkan penipuan yang berselindung di sebalik agama Islam.

Wassalam.

Monday, June 15, 2009

Perlumbaan Telahpun Bermula


Sebelum dan selepas PRU 12, ramai penganalisa politik berpendapat bahawa sokongan kepada BN dan PAKATAN di Kelantan sendiri masih tidak berganjak kepada 50-50. Namum yang meranapkan harapan BN pada Mac 2008 ialah pengundi luar yang pulang dengan kemarahan dan rasa meluap kepada kerajaan anak-beranak dan menantu pimpinan Dollah Badawi.

Dengan tersingkirnya Dollah dari tampuk kuasa, adakah mungkin Manek Urai akan membuka lebaran baru kepada BN?


Melihat kepada sambutan penduduk tempatan menghadiri majlis pelancaran jentera peti undi BN oleh Dato' Seri Shafie Apdal, boleh dikatakan bahawa kepada penduduk tempatan BN masih lagi relevan. Namun ianya tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk membuat andaian bahawa BN akan mendapat kemenangan. Beberapa persoalan penting perlu diselesaikan.

Antaranya ialah calon BN. Sepanjang meluangkan masa di Manek Urai selama 4 hari, saya berpendapat bahawa calon BN masih lagi menjadi bahan rebutan pemimpin kanan bahagian. Ketua Bahagian Kuala Krai Ramzi sendiri cuba menonjolkan diri dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran jentera peti undi. Tetapi akar umbi UMNO Kuala Krai sendiri telahpun menolak Ramzi, yang dilihat seperti saki-baki peninggalan Dollah Badawi selain Khairy.


Apabila Tok Pa menyatakan bahawa calon Manek Urai mestilah individu yang berkerja kuat dan bersifat mersa rakyat, maka saya yakin Ramzi bukanlah orangnya. Terdapat lagi beberapa orang calon yang lebih sesuai, but Ramzi is a gone case for now.

PAS telahpun melancarkan jentera peti undi sehari sebelumnya. Apa yang menyedihkan ialah TG Nik Aziz sanggup berkata bahawa kerusi Manek Urai perlu dipertahankan walaupun terpaksa "bergocoh" atau bergaduh. Pernyataan ini dijawab oleh Tok Pa dengan selamba, bahawa yang dicari bukannya pergaduhan, tetapi perpaduan dan persaudaraan sesama Islam.